top of page

Lagenda Puteri Limau Purut

Pada zaman dahulu kala ada seorang raja di negeri Perak yang bernama Sultan Mahmud Iskandar Syah yang bersemayam di atas takhta kerajaan yang berpusat di Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga. Baginda tidak mempunyai putera atau puteri, cuma berempat saudara saja, dua lelaki dan dua perempuan. Yang lelaki bergelar Yang di Pertuan Muda bersemayam di Kampung Pulau Tiga yang sekarang dikenali sebagai Kampung Tok Paduka Raja. Baginda ini telah meninggal dunia terlebih dahulu dan telah di gelar dengan gelaran Al Marhum Pulau Tiga. Yang perempuan, seorang bergelar selepas mangkat ialah Syah Alam Muda Pulau Tiga iaitu Tuan Puteri Limau Purut. Setengah orang menggelarnya tuan Puteri Menara Konkong manakala seorang lagi bergelar Syah Alam Bongsu Sayong kerana meninggal dunia di Sayong. Nama-nama batang tubuh mereka tidak diketahui.

Hendak dijadikan cerita, pada satu hari datang lah satu rombongan di raja dari Aceh ke Istana Sultan Perak di Geronggong kerana hendak meminang tuan Puteri Limau Purut. Rombongan itu pun masuk menghadap baginda sultan serta menyembahkan kedatangan rombongan di raja itu. Selepas mendengar sembah rombongan itu, maka Sultan pun bertitah supaya di tangguhkan jawapan ke masa yang lain. Maka, pulanglah rombongan itu ke negeri mereka semula lalu menghadap dan menyembahkan perkara berkenaan dengan penangguhan itu.


Setelah beberapa ketika, Tuan Puteri Limau Purut yang tidak tahu menahu tentang rombongan yang meminangnya itu telah mendapat tahu bahawa Raja Aceh hendak meminang dirinya. Maka amat gembiralah hatinya yang sejak dahulu bercita-cita hendak berkelah-kelah ke hulu supaya dapat menenangkan hatinya yang duka itu. Seterusnya, bersiap-siaplah segala persiapan inang pengasuhnya akan segala alat-alat perkelahan di raja serta dimuatkan ke dalam perahu. Angkatan tuan Puteri dengan beberapa buah perahu itu pun memudik ke hulu sambil singgah di merata-rata kampung di tepi sungai itu. Mana-mana tempat yang disinggahnya, orang-orang kampung pun datang mengadap serta membawa persembahan seperti beras, sayur-sayuran dan lain lain sehingga penuh dalam perahu itu.

ree
Gambar diatas menunjukkan Makam Puteri Limau Purut

Perkhabaran tentang perihal kemangkatan tuan Puteri Limau Purut itu pun dipersembahkan kepada Sultan di Geronggong. Baginda amat sedih dan duka cita di atas kemangkatan Paduka Adinda tuan Putri Limau Purut itu. Baginda pun berangkat memudik serta membawa segala alat-alat kelengkapan di raja untuk mengkebumikan tuan Puteri Limau Purut. Setelah hal pengebumian Puteri Limau Purut selesai, baginda sultan pun pulang ke istana dan baginda terus menghantar utusan ke Aceh untuk memberi tahu yang tuan Puteri Limau Purut sudah meninggal dunia.


Baginda Raja Aceh terus murka setelah mendengar khabar yang dibawa oleh utusan Perak itu dan menyatakan bahawa khabaran ini adalah hanya satu helah untuk menolak lamaran sahaja. Baginda Raja Aceh lantas terus mengerahkan bala tenteranya untuk bersiap sedia menyerang negeri Perak. Maka berangkatlah angkatan tentera perang Aceh menuju ke Perak. Malangnya Kerajaan Perak tidak membuat apa-apa persiapan dan perkara ini tidak dijangka langsung akan berlaku.


Kemurkaan Raja Aceh tidak dapat dibawa bincang lagi dan tanpa sebarang perkhabaran, Aceh pun pergi menyerang Perak dengan tanpa sebarang amaran. Bendahara Perak tidak ada di Kota Geronggong pada masa ketika Perak diserang tentera Aceh kerana sedang berubat di Ulu Kinta. Oleh kerana tidak ada persediaan untuk menghadapi peperangan, maka Perak pun kalah. Sultan Perak ditawan dan dibawa ke Aceh untuk dipenjarakan.


Setelah tentera Aceh beredar dari Perak untuk pulang ke Aceh, pembesar Perak seperti Bana, Tok Ribut, Tok Gagah dan Tok Bidara terus mengadakan mesyuarat untuk memberitahu perkhabaran berita tentang apa yang berlaku pada sultan ke bendahara yang berada di Ulu Kinta. Kata putus mesyuarat menyatakan bahawa Bana dan Tok Gagah yang akan pergi ke Ulu Kinta bertemu dengan bendahara demi menyampaikan perkhabaran sedih tersebut.


Maka pergilah Tok Gagah dan Bana ke Ulu Kinta menemui bendahara dan menceritakan segala yang berlaku sewaktu bendahara tiada di Kota Geronggong. Lalu berlinang air mata bendahara rasa sedih mendengar perkhabaran dari Bana dan Tok Gagah berkenaan hal tersebut. Seminggu selepas itu, bendahara kembali sihat dan sembuh dari penyakitnya. Kemudian, bendahara menemui orang yang mengubatnya iaitu penghulu orang asli untuk menyatakan rasa syukur dan berterima kasih.


Bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan tidak lama kemudian bendahara terus berangkat ke Singapura kerana hendak membeli jin. Apabila sampai di Singapura, bendahara pun naik ke darat dan bertemu dengan seorang orang tua yang sedang duduk termenung. Dihadapan orang tua tersebut ada empat ekor burung serindit lalu bendahara memberi salam dan terus bertanyakan pada orang tua tersebut sama ada ingin menjual empat ekor burung miliknya itu.

ree

Setelah mendapat sambut balas dari orang tua tersebut dan menyatakan ianya untuk dijual, maka bendahara pun bersetuju untuk membelinya dan membayar dengan nilai yang dipersetujui. Tanpa melengahkan masa, bendahara terus membawa empat ekor burung tersebut dengan kapal layarnya menuju ke Pulau Sembilan. Apabila bendahara sampai ke Pulau Sembilan, bendahara terus melepaskan seekor burung serinditnya disitu dan terus memudik kapalnya sehinggalah ke Pasir Garam di Pulau Bangka.


Apabila bendahara sampai ke Pasir Garam, dilepaskan seekor lagi burung serinditnya disitu pula. Dan 2 ekor burung serindit yang terakhirnya dilepaskan di sebelah hulu Perak di kawasan Temong. Ada yang katakan, bahawa empat ekor burung serendit inilah sebenarnya empat ekor jin yang dipelihara oleh bendahara untuk bersama-sama mempertahankan negeri Perak. Nama jin-jin tersebut adalah Bintang Kemabur, Perkaka, Gagak Sura dan Pulikat.


Setelah selesai melepaskan ke semua burung serendit yang dikatakan jelmaan jin itu, maka bendahara pun pulang ke Kota Geronggong dan bersiap siaga dengan alat peperangan untuk menyerang semula Aceh dan menuntut semula sultan Perak yang telah dipenjarakan di sana. Tentera Perak pun berhimpun di Kota Geronggong yang datang dari serata Perak untuk belayar menuju ke Aceh. Turut ada di dalam angkatan perang adalah Bana dan Tok Gagah yang begitu berani menentang musuh.


Tentera Perak kalah apabila menyerang Aceh kerana pada waktu itu kuasa Raja Aceh sangat gagah dan digeruni. Bendahara dan dua orang pembesar iaitu Bana dan Tok Gagah pun ditangkap, dipenjarakan lalu mereka bertiga akan menghukum bunuh. Berita tentang hal hukuman bunuh bendahara dan pembesar Perak itu telah sampai ke telinga Raja Permaisuri Aceh dan baginda Raja Permaisuri mempertikaikan akan hukuman yang bakal dikenakan pada Raja Aceh.


Baginda Raja Permaisuri Aceh terus memberitahu tentang baginda sedang hamil dan ingin meletakkan syarat pada Raja Aceh tentang hal hukuman pada bendahara dan pembesar Perak. Baginda nyatakan sedang mengidamkan buah durian Gangga Puri yang ada di anjung istana. Baginda Raja Permaisuri Aceh mencadangkan bahawa arahkan bendahara mengambil buah durian Gangga Puri itu dan jika dia tidak berupaya mengambilnya, maka barulah jatuhkan hukuman bunuh. Memandangkan Raja Permaisuri Aceh sedang mengandung, maka Raja Aceh yang gembira itu bersetuju sahaja.


 
 
 

Comments


Post: Blog2_Post

Subscribe Form

Thanks for submitting!

©2019 by Mukim Pulau Tiga. Proudly created with Wix.com

bottom of page