
Pengenalan
Di Mukim Pulau Tiga terdapat 10 buah kampung dibawah pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung. Kampung-kampung tersebut ialah Kampong Telok Sareh Ulu, Kampong Empai, Kampong Toh Paduka Raja, Kampong Baru, Kampong Tanjong Bidara, Kampong Jawa, Kampong Pasir Puteh, Kampong Pulau Tiga Kiri, Kampong Pasir Garam dan Kampong Pasir Kubu.
Mukim Pulau Tiga terletak di dalam kawasan P.073 Parlimen Pasir Salak dan N.049 Dewan Undangan Negeri Kg. Gajah. Mempunyai penduduk seramai 3,662 orang dengan 6 buah kampung bersempadan dengan Mukim Kg. Gajah dan Mukim Lambor di sebelah kanan Sg. Perak. Manakala 4 buah kampong lagi bersempadan dengan Mukim Pasir Salak dan Mukim Lambor di sebelah kiri Sg. Perak

Sejarah
Putri Limau Purut
Pada zaman dahulu kala ada seorang raja di negeri Perak yang bernama Sultan Mahmud Iskandar Syah yang bersemayam di atas takhta kerajaan yang berpusat di Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga. Baginda tidak mempunyai putera atau puteri, cuma berempat saudara saja, dua lelaki dan dua perempuan. Yang lelaki bergelar Yang di Pertuan Muda bersemayam di Kampung Pulau Tiga yang sekarang dikenali sebagai Kampung Tok Paduka Raja.
Baginda ini telah meninggal dunia terlebih dahulu dan telah di gelar dengan gelaran Al Marhum Pulau Tiga. Yang perempuan, seorang bergelar selepas mangkat ialah Syah Alam Muda Pulau Tiga iaitu Tuan Puteri Limau Purut. Setengah orang menggelarnya tuan Puteri Menara Konkong manakala seorang lagi bergelar Syah Alam Bongsu Sayong kerana meninggal dunia di Sayong. Nama-nama batang tubuh mereka tidak di ketahui.
Hendak dijadikan cerita, pada satu hari datang lah satu rombongan di raja dari Aceh ke Istana Sultan Perak di Geronggong kerana hendak meminang tuan Puteri Limau Purut. Rombongan itu pun masuk menghadap baginda sultan serta menyembahkan kedatangan rombongan di raja itu. Selepas mendengar sembah rombongan itu, maka Sultan pun bertitah supaya di tangguhkan jawapan ke masa yang lain. Maka, pulanglah rombongan itu ke negeri mereka semula lalu menghadap dan menyembahkan perkara berkenaan dengan penangguhan itu.
Setelah beberapa ketika, Tuan Puteri Limau Purut yang tidak tahu menahu tentang rombongan yang meminangnya itu telah mendapat tahu bahawa Raja Aceh hendak meminang dirinya. Maka amat gembiralah hatinya yang sejak dahulu bercita-cita hendak berkelah-kelah ke hulu supaya dapat menenangkan hatinya yang duka itu. Seterusnya, bersiap-siaplah segala persiapan inang pengasuhnya akan segala alat-alat perkelahan di raja serta dimuatkan ke dalam perahu. Angkatan tuan Puteri dengan beberapa buah perahu itu pun memudik ke hulu sambil singgah di merata-rata kampung di tepi sungai itu. Mana-mana tempat yang di singgahnya, orang-orang kampung pun datang mengadap serta membawa persembahan seperti beras, sayur-sayuran dan lain lain sahingga penuh dalam perahu itu.
Tidak berapa lama selepas itu, maka sampailah mereka ke satu tempat lalu mereka singgah dan naik ke darat serta bersiap-siap untuk berkelah. Dayang-dayang dan inang pengasuhnya pun tampil membuat kerja masing-masing. Dengan takdir yang ditentukan tuhan, sedang tuan Puteri memotong timun maka terkenalah mata pisau itu ke jarinya dan luka. Tuan Puteri pun berseru, “Jika darah luka di jari beta ini putih, beta akan mangkat di sini.” Dengan tidak semena dan tidak disangka-sangka, darah yang keluar dari luka tuan Puteri memang berwarna putih. Tidak berapa lama kemudian, tuan Puteri Limau Purut mangkat disitu.
Perkhabaran tentang perihal kemangkatan tuan Puteri Limau Purut itu pun dipersembahkan kepada Sultan di Geronggong. Baginda amat sedih dan duka cita di atas kemangkatan Paduka Adinda tuan Putri Limau Purut itu. Baginda pun berangkat memudik serta membawa segala alat-alat kelengkapan di raja untuk mengkebumikan tuan Puteri Limau Purut. Setelah hal pengebumian Puteri Limau Purut selesai, baginda sultan pun pulang ke istana dan baginda terus menghantar utusan ke Aceh untuk memberi tahu yang tuan Puteri Limau Purut sudah meninggal dunia.
Baginda Raja Aceh terus murka setelah mendengar khabar yang dibawa oleh utusan Perak itu dan menyatakan bahawa khabaran ini adalah hanya satu helah untuk menolak lamaran sahaja. Baginda Raja Aceh lantas terus mengerahkan bala tenteranya untuk bersiap sedia menyerang negeri Perak. Maka berangkatlah angkatan tentera perang Aceh menuju ke Perak. Malangnya Kerajaan Perak tidak membuat apa-apa persiapan dan perkara ini tidak dijangka lansung akan berlaku.
Quran Tulisan Tangan Malaysia
Quran Tulisan Tangan Paling Tua dari Pulau Tiga
Dua buah Quran tulisan tangan dipercayai masing-masing berumur 414 dan 184 tahun pernah diserahkan oleh penyimpan-penyimpannya di Pulau Tiga, Kampung Gajah kepada Jabatan Perpustakaan Negara untuk diawet dan dibuat salinan fotografi. Untuk makluman anda, inilah Quran tulisan tangan paling tua yang pernah dijumpai di Malaysia dan ianya disimpan lama di Pulau Tiga, Kampung Gajah.
Berdasarkan dari anggaran umur Quran tersebut, berkemungkinan ia ditulis sejak pada tahun 1603 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Mukaddam Shah iaitu Sultan Perak yang ke 6 manakala yang satu lagi ditulis dalam zaman pemerintahan Sultan Perak yang ke 21 iaitu Sultan Shahabuddin Riayat Shah pada tahun 1833.
Menurut Pejabat Kebudayaan, Belia dan Sukan di Parit pada tahun 1983, Quran yang dipercayai berumur 380 tahun (pada waktu itu) dikenali sebagai nama Quran Semut Gatal oleh penduduk Pulau Tiga. Ia dikatakan telah ditulis oleh 3 orang ahli agama yang tinggal di Pulau Tiga. Nama penulis pertama dan kedua tidak diketahui tetapi penulis yang ketiga dikenali sebagai nama Tok Mencalang iaitu seorang penyair, ahli pantun dan perseloka yang amat terkemuka di Pulau Tiga pada waktu itu.